Kanak-kanak perempuan 8 tahun maut disengat tebuan

Gambar hiasan

Kuala Terengganu, 31 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun dilaporkan meninggal dunia awal pagi ini akibat disengat tebuan.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 pagi tadi setelah bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kata Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

“Kanak-kanak perempuan itu, dengan 65 sengatan tebuan dihantar ke HSNZ pada 9.17 malam semalam dari Hospital Dungun. Mangsa meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman disebabkan toksin sengatan tebuan,” katanya.

Semalam, dua beradik, Nur Nazihah Mohd Sabri, 8 dan adiknya, Muhammad Azib, 6 dilaporkan diserang tebuan ketika sedang bermain.

Menurut ibu mereka, Rohayu Mat Lazim, 39, dua beradik itu bermain bersama kakak dan rakan-rakan di sebuah bukit berhampiran rumah.

Azib kemudiannya berlari masuk ke dalam rumah dalam kesakitan dengan bengkak-bengkak pada badan. Rohayu kemudiannya membawa mereka ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dirujuk ke Hospital Dungun dan dihantar ke HSNZ.

“Dia berlari masuk beritahu kakaknya teruk disengat tebuan. Keadaan Nur Nazihah masa itu sangat lemah. Semasa kejadian, suami saya tiada di rumah sebab bekerja, jadi saya bawa kedua-dua mereka ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. Dalam jam 8 malam tadi, anak-anak saya dirujuk pula ke HSNZ,” katanya.

Tak sempat lari, tersangkut di pagar

Tambah Rohayu, beliau dan suaminya sering mengingatkan anak mereka agar tidak bermain di kawasan itu disebabkan kewujudan sarang tebuan baru-baru ini.

“Tidak tahu macam mana petang tadi mereka boleh bermain sampai ke situ. Ketika kejadian, kanak-kanak lain sempat lari tapi Nur Nazihah tersangkut di pagar, jadi dia yang kena sengat paling banyak, hampir 60 sengat.

“Doktor beritahu organ dalaman Nur Nazihah terjejas dan buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, namun adiknya sudah mula menunjukkan perkembangan positif dan keadaannya stabil,” ujarnya sebak.

Jenazah anak ketiga daripada lima beradik itu dibawa pulang ke Kerteh untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kerteh 5, Dungun pagi ini.

“Sedih sangat, tidak sangka hilang anak sekelip mata namun saya reda dengan ujian Allah ini. Seorang lagi anak masih dalam pemantauan doktor di HSNZ… semoga dia cepat sembuh seperti biasa,” katanya sebak.

 

Sumber : Bernama

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Be the first to comment on "Kanak-kanak perempuan 8 tahun maut disengat tebuan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares